Wednesday, October 22, 2008

Bismillah...Dengan Nama Allah

Assalamualaikum wbt~

Baik, ini kali ke berapa entah saya mencuba lagi untuk menulis. Diri ini sebolehnya mahu menulis sesuatu yang bermanfaat atau lebih baik lagi ingin menulis sesuatu yang boleh menambahkan keimanan para pembaca. Tapi dek kekurangan bakat, ilham dan keyakinan untuk menulis, selalu menjadi alasan untuk tidak meneruskan penulisan. Tetapi saya tetap ingin terus mencuba dan berusaha sebab..

"...Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri...[Ar Ra'ad 13:11]

Nah!Kalam Allah telah menyatakan dengan jelas jika ingin berubah, orang itu hendaklah berusaha dan ia bermula dari dalam diri sendiri. Selebihnya bertawakal kepada Allah. Doakan saya agar istiqamah ok.

Tujuan saya mencipta blog ini adalah untuk meluahkan apa yang ada di minda dan hati berkaitan dengan perkara-perkara yang berlaku dalam kehidupan harian yang saya lalui. Sebolehnya sebelum saya menulis di sini, saya akan merenung dan berfikir berlandaskan kaca mata akhirat kerana setiap langkah di dunia ini adalah dalam rencanaNya, tidak ada yang terkecuali. Lagi, saya harap blog ini ibarat diari saya dan juga sebagai tempat saya membuat revision berkaitan dengan ilmu-ilmu agama yang baru saya perolehi.

Insya Allah sebolehnya saya akan menyelitkan ayat-ayat dari kitab mulia, Al Quran dan hadis-hadis kerana saya mahu anda semua tahu bahawa kita semua ini adalah manusia akhir zaman. Maksudnya, tidak akan ada lagi nabi yang diutuskan untuk membimbing kita. Nabi yang kita cintai telah meninggalkan kita 2 sumber yang kalau kita berpegang kepadanya, kita takkan sesat di duna ini yakni Al Quran dan Sunnah. Sebagaimana yang diucapkan oleh Rasulullah dalam khutbah terakhir baginda ketika haji wada':

"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al Quran dan Sunnahku. "

Saya perkenalkan diri dahulu ok. Nama diberi Helwa Fathi Hadzri, dilahirkan di Kangar, Perlis. Tahun 2008 ini, saya berusia 22 tahun. Sedang menuntut ilmu di University of Auckland, dalam bidang sains specifically chemistry. Apalagi ya, mmm..keluarga di Bentong, Pahang dan anak ke-2 dari 3 adik beradik. Saya tulis direct dari hati insyaAllah, kalau mahu tahu karakter saya lihatlah pada gaya penulisan saya. Saya tak pandai nak meyusun kata-kata yang berbunga tapi saya cuba seboleh mungkin agar message yang ingin disampaikan itu sampai kepada para pembaca. Tujuan hidup saya di dunia adalah berusaha mendapatkan redha Allah dunia dan akhirat dengan berilmu dan beramal.

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku"
[Adz Dzaariyaat 51:56].

Motto saya adalah:
Allahu ghayatuna [tujuan]
Ar Rasul qudwatuna [teladan]
Al Quran dusturuna [pedoman]
Al jihadu sabiliruna [jalan juang]
Al Mautu fisabilillah
asma amaanina [mati di jalan Allah,cita-cita tertinggi]

Akhir sekali, saya meminta daripada para pembaca agar tegurlah saya sekiranya ada sebarang kesilapan dan kekurangan yang bakal saya lakukan. Saya amat suka kerana ia membantu saya memperbaiki dan meningkatkan usaha saya untuk menjadikan medan menulis ini lebih baik dan dalam usaha menjadikan menulis ini sebagai salah satu jalan jihad saya demi menegakkan agama Allah di muka bumi ini.

Wallahu'alam. Jazakallah. Sekian.

No comments:

Post a Comment